Wednesday 25 September 2013

LAPORAN PELANCARAN BULAN SAINS DAN MATEMATIK 2013

Assalamualaikum

1.0 PENGENALAN
Aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik pada awal bulan April setiap tahun merupakan aktiviti kemuncak tahunan bagi Panitia Sains di mana murid-murid berupaya untuk menunjukkan bakat mereka dalam bidang sains tanpa mengira aliran fizik, kimia ataupun biologi di hadapan orang ramai. Beberapa tahun ini, aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik dikatakan oleh murid-murid sebagai salah satu aktiviti demonstrasi terbuka yang paling kreatif dan menarik sepanjang kalendar takwim SMK Perimbun. Aktiviti ini juga merupakan aktiviti ternama serta aktiviti tradisi bagi Panitia Sains kerana aktiviti inilah yang bakal menjadi barisan hadapan dalam menarik minat murid-murid terhadap pelbagai pertandingan bertemakan sains yang diadakan sepanjang Bulan Sains dan Matematik. Pada tahun ini, Kelab Prisma dan Rekacipta telah diberi penghormatan dan tanggungjawab yang amat besar oleh Panitia Sains untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan kreativiti Panitia Sains dalam menjayakan aktiviti ini serta melakar latar yang mempesonakan bagi Bulan Sains dan Matematik secara keseluruhannya.

2.0 MATLAMAT
·         Mencungkil bakat dan kreativiti murid-murid dalam menarik minat warga SMK Perimbun terhadap aktiviti Sains yang bakal diadakan sepanjang Bulan Sains dan Matematik.
3.0 OBJEKTIF
·         Memupuk kemahiran berkomunikasi ahli Kelab Prisma dan Rekacipta melalui interaksi secara langsung dengan semua warga SMK Perimbun.
·         Memberi peluang kepada semua warga SMK Perimbun untuk mempelajari ilmu sains, terutamanya dalam bidang kimia, dengan kaedah yang menarik.
·         Menjadi platform dalam menentukan sambutan aktiviti Bulan Sains dan Matematik yang bakal diadakan seterusnya.
·         Memberi peluang kepada ahli Kelab Prisma dan Rekacipta untuk menjalankan aktiviti eksperimen secara ‘hands on’/praktikal.
4.0 PELAKSANAAN
       Tarikh        :       10 April 2013
       Hari            :       Rabu
       Masa          :       7.30 pagi 8.00 pagi
       Tempat      :       Dataran Muhibbah, SMK Perimbun
       Penganjur  :       Panitia Sains dengan Kelab Prisma dan    Rekacipta

5.0 SASARAN
Semua warga sesi pagi SMK Perimbun (Tingkatan 3, 4, 5 dan 6). Jumlah sasaran tersebut adalah kira-kira 1 500 orang murid.

6.0 JAWATANKUASA
6.1 JAWATANKUASA INDUK
6.1.1 TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA INDUK
·       Merancang pelaksanaan aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik dari segi tempat, masa, pengurusan sumber manusia, sasaran murid dan aktiviti.
·       Memantau perjalanan aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik untuk memastikan kelancaran program ini.
·       Meluluskan atau melakukan sebarang perubahan terhadap eksperimen serta aktiviti yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pelaksana.
·       Sebagai pengantara Kelab Prisma dan Rekacipta dengan pihak pengurusan SMK Perimbun.
6.1.2 AHLI JAWATANKUASA INDUK

       Penaung : Puan Hajah Petri Noor Jaliah binti     Megat Adnan     (Pengetua Kanan SMK Perimbun)

       Guru Penasihat            : Puan Rusmiyana binti Kamari
                     Puan Jamilah binti Mat Arshad

        Pengerusi             : Mandeep Singh A/L Manjit Singh (5 Alfa)

        Timbalan Pengerusi       : Beh Zi Xuan (4 Alfa)

        Naib Pengerusi             : Felicity Mishan Ng Yi Wey (5 Alfa)
               Yee Jin Kiat (4 Delta)

Setiausaha                    : Shika A/P Ranjendiran (5 Alfa)

Penolong Setiausaha  : Nurain Khairunnisa binti Mohd. Rozi (5 Beta)

 Bendahari                  : Lim Zhu Tien (5 Alfa)

 Penolong Bendahari     : Darshwini A/P Sridharan (4 Alfa)


6.2 JAWATANKUASA PELAKSANA
6.2.1 TUGAS-TUGAS  JAWATANKUASA PELAKSANA
·       Melaksanakan segala arahan yang diberikan oleh Jawatankuasa Induk.
·       Menjalankan pencarian maklumat dan eksperimen yang menarik berkenaan dengan aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik.
·       Diberi kuasa untuk mengendalikan dan merancang aktiviti yang berlangsung sepanjang aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik dengan pemerhatian oleh Jawatankuasa Induk. (Walau bagaimanapun, segala aktiviti dan keputusan oleh Jawatankuasa Pelaksana mesti dirujuk kepada Jawatankuasa Induk terlebih dahulu untuk pengesahan.)
·       Melibatkan diri serta memberi sumbangan tenaga dalam segala aktiviti yang dijalankan oleh Kelab Prisma dan Rekacipta.
6.2.2 AHLI JAWATANKUASA PELAKSANA
                    Ketua: Lim Zhu Tien (5 Alfa)
1.     Yap Kean Onn (5 Delta)
2.    Ch’ng Wai Keat (5 Gamma)
3.   Lo Wei Hong (5 Alfa)
4.   Andaeus Neoh Zun Khan (5 Gamma)
5.   Chong Kah Hou (5 Gamma)
6.   Jessie Kek Teng Han (5 Beta)
7.   Liew Kar Fai (5 Gamma)

7.0 SUMBER KEWANGAN
·         Yuran ahli Kelab Prisma dan Rekacipta
·         Peruntukan Panitia Sains
·         Sumbangan Ahli Jawatankuasa serta Guru Penasihat Kelab Prisma dan Rekacipta
·         Sumbangan bahan kimia oleh pihak pengurusan Makmal Sains SMK Perimbun

8.0 ANGGARAN PERBELANJAAN
BAHAN
ANGGARAN HARGA (RM)
Ais kering
20.00
Pewarna makanan
6.00
Sabun pencuci
5.00
Gula
2.50
Aluminium foil
5.00
JUMLAH
38.50

9.0 TENTATIF PROGRAM
        9.1 PERSEDIAAN AKTIVITI PELANCARAN BULAN SAINS DAN MATEMATIK
Pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta pada 21 Mac 2013, semua Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta telah bersetuju untuk mengemukakan eksperimen, pembahagian sumber manusia serta kaedah persembahan untuk Aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik seperti yang berikut:
      9.1.1 EKSPERIMEN YANG DIKEMUKAKAN
1.     Dry Ice Fog
2.    Smoke Bomb
3.   Elephant Toothpaste
(Sila rujuk bahagian Eksperimen untuk maklumat lanjut mengenai prosedur dan bahan-bahan yang diperlukan.)
      9.1.2 PEMBAHAGIAN SUMBER MANUSIA
PENGERUSI MAJLIS
Atas persetujuan semua Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta, Pengerusi,   Mandeep Singh A/L Manjit Singh (5 Alfa), serta Naib Pengerusi, Felicity Mishan Ng Yiwey (5 Alfa), telah diamanahkan tanggungjawab sebagai pengerusi majlis pada hari kejadian. Pemilihan mereka adalah atas kefasihan mereka dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pengetahuan mereka yang mendalam mengenai eksperimen-eksperimen yang bakal dipersembahkan.

PERSEMBAHAN ATAS PENTAS
Ahli Jawatankuasa Pelaksana, Lo Wei Hong (5 Alfa), Yap Kean Onn (5 Delta), dan Ch’ng Wai Keat (5 Delta), telah menggalas tanggungjawab untuk mendemonstrasi eksperimen Smoke Bomb serta Elephant Toothpaste di atas pentas.

AKTIVITI PEMBUKA MAJLIS
Semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Pelaksana Kelab Prisma dan Rekacipta telah menerima cadangan Pengerusi untuk menjalankan eksperimen Dry Ice Fog sebagai aktiviti pembuka majlis. Pengerusi telah memutuskan supaya tiga stesen diwujudkan di sekitar Dataran Muhibah untuk melaksanakan aktiviti pembuka majlis. Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta berhasrat untuk memecah tradisi Pelancaran Bulan Sains dan Matematik yang selama ini hanya membuat persembahan di atas pentas. Persembahan pembukaan majlis yang dijalankan di sekitar Dataran Muhibbah dianggap sebagai pendekatan yang kreatif dan lebih mudah untuk menarik perhatian murid atas sebab jarak penglihatan yang lebih dekat serta mudah untuk berinteraksi dengan semua warga SMK Perimbun.
Dengan itu, tiga stesen yang telah diwujudkan di sekitar Dataran Muhibbah adalah seperti yang berikut:

STESEN
KEDUDUKAN
AJK PELAKSANA YANG DITUGASKAN

1

Hentian Muhibbah (Barisan Kadet Remaja Sekolah)


Liew Kar Fai (5 Gamma)

2

Di Hadapan Garaj (Barisan Perempuan BSMM)


Lim Zhu Tien (5 Alfa)

3

Tempat Duduk Terbuka Rimbun De Café (Barisan Kadet Bomba dan Penyelamat)


Chong Kah Hou (5 Gamma)

9.1.3 KAEDAH PERSEMBAHAN
Ketika mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta pada 21 Mac 2013, beberapa kaedah persembahan telah dicadangkan oleh Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta. Kaedah-kaedah tersebut merupakan sketsa, demonstrasi, dan syarahan.
KAEDAH SYARAHAN : DITOLAK
Kaedah syarahan ditolak kerana tidak berupaya untuk mewujudkan interaksi secara langsung dengan warga SMK Perimbun. Lebih-lebih lagi, kaedah syarahan hanya mengaplikasikan perkongsian ilmu secara teori yang dianggap membosankan dan bertentangan dengan objektif pelancaran yang menginginkan ahli Prisma menjalankan aktiviti pelancaran secara ‘hands on’/praktikal.
KAEDAH SKETSA : DITOLAK
Berbanding dengan kaedah syarahan, kaedah sketsa lebih digemari oleh Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta kerana kaedah sketsa dapat mendedahkan warga SMK Perimbun kepada ilmu sains yang dipersembahkan dengan kreatif dan menarik. Walau bagaimanapun, kaedah sketsa baru diamalkan oleh kumpulan persembahan Aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik pada tahun lepas. Besar kemungkinan pihak Panitia Sains serta sasaran aktiviti ini, iaitu murid-murid sesi pagi SMK Perimbun, akan menganggap  aktiviti pada tahun ini sebagai kurang kreatif dan hanya berkisar sekitar sketsa sahaja. Tambahan pula, idea yang disampaikan melalui sketsa mempunyai risiko untuk disalahtafsirkan oleh warga-warga SMK Perimbun yang lemah dari segi bahasa kerana idea tersebut biasanya lebih kepada maksud tersirat. Hal ini bertentangan dengan perancangan aktiviti Pelancaran Sains dan Matematik yang mengetengahkan pengorakan langkah yang baru serta mudah difahami oleh warga SMK Perimbun tanpa mengira tahap kefahaman mereka.
KAEDAH DEMONSTRASI : DITERIMA
Antara sebab kaedah demonstrasi diterima termasuklah dapat menyampaikan ilmu sains secara terus untuk mudah difahami oleh murid, merupakan kaedah persembahan yang sudah lama tidak digunakan dalam aktiviti ini beberapa tahun yang lepas serta dapat memberikan ahli-ahli Kelab Prisma dan Rekacipta pengalaman secara ‘hands on’/praktikal dalam menjalankan eksperimen pada hari kejadian. Kaedah demonstrasi juga dapat melatih kemahiran berkomunikasi ahli-ahli Kelab Prisma dan Rekacipta dengan lebih efektif berbanding dengan kaedah sketsa dan syarahan yang terlalu terikat dengan skrip persembahan. Kaedah demonstrasi dapat dilakukan secara bersahaja serta dapat menonjolkan kreativiti murid-murid dalam mempersembahkan eksperimen dengan menarik dan unik agar mudah difahami dan diingati oleh murid.
      9.2 PERJALANAN PROGRAM PADA HARI KEJADIAN
Majlis dimulakan dengan semua murid sesi pagi SMK Perimbun berbaris mengikut badan beruniform masing-masing di Dataran Muhibbah. Oleh sebab program tersebut dimasukkan ke dalam sesi perhimpunan kokurikulum, upacara tersebut diteruskan dengan bacaan doa, nyanyian lagu kebangsaan dan kemudiannya pengumuman pada hari tersebut. Sementara itu, semua Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta telah bersedia di stesen masing-masing, menunggu arahan seterusnya oleh Pengerusi Majlis.
Setelah sesi pengumuman selesai, tibalah giliran rakan-rakan setugas Kelab Prisma dan Rekacipta, Mandeep Singh A/L Manjit Singh serta Felicity Mishan Ng Yi Wey untuk mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Majlis. Dengan itu, secara rasminya aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik telah pun bermula. Aktiviti ini membuka tirainya dengan special effect di sekitar Dataran Muhibbah yang disebabkan oleh kabus yang dilepaskan oleh ais kering yang direndam ke dalam air panas. Seperti yang dijangka, kabus ini berjaya menarik perhatian murid-murid terhadap eksperimen Dry Ice Fog yang dijalankan di 3 stesen sekitar Dataran Muhibbah seperti yang dirancang sebelum ini. Selepas itu, Pengerusi Majlis memberi penerangan yang ringkas tentang langkah-langkah untuk memperoleh special effect seperti yang dilihat di sekitar Dataran Muhibbah dengan merendam ais kering ke dalam air panas. Pengerusi Majlis turut menyatakan bahawa eksperimen ini sebenarnya salah satu kaedah yang diamalkan dalam pementasan drama untuk mewujudkan latar pembukaan drama yang berkabus.
Tanpa membuang masa, Pengerusi Majlis meneruskan program ini dengan demonstrasi dua lagi eksperimen atas pentas. ‘Saintis’ yang berada di atas pentas ketika itu ialah Lo Wei Hong, Ch’ng Wai Keat dan Yap Kean Onn. Demonstrasi atas pentas bermula dengan eksperimen Smoke Bomb yang kemudiannya telah diasapkan oleh para ‘saintis’ Kelab Prisma dan Rekacipta dengan berhati-hati. Murid-murid terpesona lagi apabila melihat kepulan asap tebal yang dijanakan oleh campuran gula dan Potassium Nitrate yang sedikit sahaja dalam eksperimen Smoke Bomb.
Akhir sekali, demonstrasi ini mencapai kemuncaknya dengan eksperimen Elephant Toothpaste. Tiga set radas dan bahan eksperimen tersebut telah disediakan di atas pentas dengan bahan pewarna yang berbeza-beza bagi setiap set. Setelah hampir semua prosedur eksperimen tersebut selesai, pihak Kelab Prisma dan Rekacipta dengan segala hormatnya telah menjemput Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd. Nor, Penolong Kanan SMK Perimbun diiringi oleh Puan Noramizan binti Abdul Rahman, Ketua Bidang Sains dan Matematik SMK Perimbun, untuk merasmikan Program Bulan Sains dan Matematik Tahun 2013. Cara perasmian pada tahun ini juga amat menarik dan bersifat ‘hands on’, iaitu menyempurnakan eksperimen tersebut dengan satu langkah terakhir menambahkan sesudu Potassium Iodide ke dalam salah satu set eksperimen yang telah disediakan oleh ‘saintis’ kami. Dengan itu, larutan eksperimen tersebut memancut keluar dengan menakjubkan sekali, melambangkan keajaiban sains yang berjaya membuka minda generasi muda tanpa mengira usia ataupun tahap kefahaman mereka.
Setelah eksperimen tersebut disempurnakan, Pengerusi Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd. Nor untuk menyampaikan sepatah dua kata semangat kepada para murid SMK Perimbun. Beliau mendedikasikan pujiannya yang ikhlas kepada Ahli Jawatankuasa Kelab Prisma dan Rekacipta atas demonstrasi yang menarik tersebut serta memberi motivasi kepada murid-murid untuk mendalami ilmu sains dan teknologi kerana sains sememangnya menakjubkan. Lantaran itu, program tersebut telah berakhir dengan jayanya di mana kedua-dua pihak, iaitu murid dan guru telah dapat mendalami ilmu sains secara kreatif dan unik pada hari kejadian.

10.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, aktiviti Pelancaran Bulan Sains dan Matematik berjaya mendapat sambutan yang hangat oleh semua warga SMK Perimbun. Hal ini secara tidak langsung telah memberi permulaan yang memberangsangkan bagi aktiviti-aktiviti Bulan Sains dan Matematik 2013 lain yang bakal diadakan. Kelab Prisma dan Rekacipta berjaya sekali lagi menjulang namanya dalam kalangan murid dan guru SMK Perimbun. Dengan itu, kami berharap agar kesinambungan kecemerlangan kreativiti murid ini dapat diteruskan dengan persembahan yang lebih kreatif dan menarik pada tahun yang berikutnya.

No comments:

Post a Comment